Saturday, 22 September 2012
lukisan
lukisan merupakan perkara paling asas dalam segala penghasilan seni visual samada pengkaryaan mahupun perekaan. Pelukis profesional sekalipun masih memerlukan lukisan untuk mengembangkan idea mereka. entri kali ini memaparkan beberapa lukisan oleh Mohd Fadli Yusoff, lanjutan dari posting terdahulu
Apresiasi dan Kritikan seni visual
lukisan merupakan perkara paling asas dalam segala penghasilan seni visual samada pengkaryaan mahupun perekaan. Pelukis profesional sekalipun masih memerlukan lukisan untuk mengembangkan idea mereka. entri kali ini memaparkan beberapa lukisan oleh Mohd Fadli Yusoff, lanjutan dari posting terdahulu
Saturday, 8 September 2012
BENAR SENI ITU INDAH
“Sesungguhnya Allah itu Maha Indah, dan Dia menyukai keindahan (sesuatu yang indah)”
(Terjemahan Hadits Riwayat Muslim)
Sebagai suatu langkah usaha dalam melaksanakan cara dan amalan hidup Islam, persembahan seni dapat menjadi elemen pemancu ke arahnya. Bagaimana kita boleh menanam minat dengan Al-Quran melalui pendekatan seni yang berkaitan dengannya seperti seni tarannum, seni khat dan sebagainya. Begitu juga dengan anjuran-anjuran Islam yang lain seperti memperbanyakkan berdoa yang boleh juga dimangkin dengan elemen seni Islam.
Seni dalam kehidupan masyarakat yang berperanan sebagai suatu wadah bagi melahirkan rasa taqarrub kepada Allah Yang Maha Indah dan sukakan keindahan, tidak harus dilihat daripada sudut keseniannya semata-mata, malah perlu juga dilihat daripada sudut kerohaniannya sebagai suatu penghubung (wasilah) kepada dekatnya kita dengan Allah S.W.T. , Pentadbir sekalian alam … Wallahu a’lam. - Zainurrahman Afandi -
“Adapun buih itu, maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia, maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah membuat pelbagai perumpamaan”
(Terjemahan Surah Ar-Ra’d:17)
KEINDAHAN SENI KHAT
HIKMAH SENI KHAT
Hikmah seni khat ialah pemahaman mengenai selok belok petua dan rahsia-rahsia halus seni ini. Memahami ilmu yang tersirat ini adalah kebijaksanaan hikmah yang menjadi inti kepada sesuatu ilmu pengetahuan. Allah SWT. berfirman yang bermaksud:
"Dia memberi hikmah kepada sesiapa yang Dia Kehendaki. Sesiapa yang diberikan al-Hikmah sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak." (Al-Baqarah : 269)
Rasulullah SAW juga menyatakan bahawa hikmah adalah permata yang hilang setiap mukmin yang perlu dicari walau di mana sahaja. Semakin mengerti seseorang tentang rahsia ilmu, semakin mendalam kecintaannya kepada perkara yang mulia dan tinggi.
Ia juga akan menyedarkan kita bahawa seni khat sebenarnya tidak sesukar yang disangka. Ia juga membantu meningkatkan kemahiran dan meringkaskan proses pembelajaran khat. Dengan ilmu sesuatu karya bertambah mantap, hidup dan memindahkan makna ke hati yang memandangnya. Petua dan rahsia ini dipelihara dan diwariskan kepada satu generasi ke generasi berikutnya.
Seni adalah kepandaian. Ada kalanya kepandaian ahli khat seperti trick ahli silap mata. Pada huruf ada petua dan rahsia. Tahukah kita bahawa huruf-huruf mempunyai ibunya? Ibu huruf bermaksud bentuk-bentuk asas yang daripadanya boleh melahirkan bentuk huruf yang lain.
Teknik ini pernah dipopularkan oleh Muhammad Hasyim al-Baghdadi, khattat Baghdad yang terkenal. Ibu-ibu kepada huruf-huruf tunggal adalah (alif, ba, jim, dal, ra, sin, shad dan nun). Sebagai contoh, daripada huruf alif boleh dilahirkan huruf kaf dan lam. Daripada huruf ba pula dilahirkan ta, sa dan fa. Begitulah seterusnya bagi ibu huruf yang lain.
Huruf-huruf sambungan pula boleh dipecahkan pula kepada lebih seribu bentuk. Namun hakikatnya bentuk-bentuk ini terangkum dalam 30 bentuk sambungan sahaja. Inilah satu keajaiban seni pembelajaran huruf khat. Pemahaman ini mengukuhkan lagi latihan huruf satu-persatu. Hanya dengan latihan tulisan seseorang akan mencapai tahap kecemerlangan.
Khat juga menggunakan teknik melukis. Pada bahagian huruf yang sukar penulis akan melukis garisan dengan hujung pena dan menghitamkan bahagian tersebut dengan tinta. Teknik ini digunakan terutamanya dalam membentuk kepada ain dan hujung ra khususnya khat nasakh dan thuluth.
Kebanyakan khattat memberi penumpuan khusus kepada latihan membentuk huruf ha simpul, kerana huruf ini mempunyai pelbagai variasi arah dan mempunyai unsur dal, fa, ra dan lain-lain. Ha adalah huruf terakhir pada perkataan `Allah' yang mempunyai makna walaupun hanya satu huruf.
Jari manusia dibina dengan struktur yang sempurna dan fungsi yang mengkagumkan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Apakah manusia mengira bahawa Kami tidak akan mengumpulkan kembali tulangnya? Bukan begitu. Malah Kami berkuasa menyusun kembali jarinya dengan sempurna." (Al-Qiamah : 3-4).
Keunikan susunan tulang pada jari amat penting dalam menulis khat. Ibu jari mempunyai dua ruas menjadi penyangga yang menyokong pena semasa menulis. Jari telunjuk pula sebagai peneraju utama semasa huruf dibentuk. Jari secara semula jadi adalah ergonomik untuk memegang pena. Gerakan jari digunakan untuk bentuk yang halus, sementara gerakan pergelangan dan lengan untuk bentuk melintang serta garisan tegak memanjang.
Semasa menulis, semua anggota yang lain diam, mata pula dipaku kepada hujung mata pena. Ada kalanya pernafasan perlu dikawal. Ini merupakan latihan kepada khusyuk (fokus). Tanpa khusyuk, tulisan tidak akan menjadi. Aktiviti manusia termasuk solat dan aktiviti hariannya perlu khusyuk dan mempunyai objektif yang jelas.
TERAPI
Dari sudut psikologi, ia adalah terapi yang berkesan bagi memulihkan ketegangan jiwa. Tidak hairanlah di dalam al-Quran Allah SWT bersumpah demi pena dan penulisannya, agar manusia kembali menoleh perhatiannya terhadap keajaiban ciptaan-Nya pada jari, tangan dan apa yang manusia catatkan.
Tinta pula diperbuat daripada unsur karbon seperti beras atau gandum yang hangus yang ditumbuk halus. Ia dicampur pula dengan gam yang sesuai seperti gam Arab, getah pohon dan lain-lain. Telah menjadi tradisi, setiap kali alu diangkat, setiap itu juga bibir menuturkan zikir memuji Allah SWT.
Pendek kata, zikrullah menjadi rutin kebiasaan dalam meraut pena, menyediakan tinta menulis dan sebagainya. Oleh itu, seni khat bukan sahaja memupuk kesempurnaan jiwa seni yang tinggi, malah ia salah satu jalan menuju Allah SWT.
Ciri-ciri pena yang baik ialah kering, keras, lurus dan beruas tebal supaya mudah dikawal serta tidak mudah patah. Mata pena dibelah tengah, dilubangkan pada jarak 2 sm dari hujung pena, dan dikelar garis-garis melintang bagi membekalkan tinta secukupnya ke mata pena.
Ruang pena yang kosong disumbat fabrik seperti kapas atau sutera bagi tujuan yang sama. Antara rahsia keindahan khat ialah penyediaan kertas yang baik yang mempunyai ciri-ciri permukaan rata, tidak kembang serta cepat menyerap tinta. Satu teknik penyediaan kertas secara tradisi ialah penyediaan kertas telur.
Caranya ialah dengan menyapukan putih telur atas kertas, keringkan dan gosokkan permukaannya dengan batu licin. Cara ini masih digunakan khususnya di Turki dan Iran sehingga ke hari ini. Ia bertujuan supaya tulisan menjadi lebih lancar dan stabil.
Masih banyak lagi petua dan rahsia yang tidak mampu diungkap dalam ruang yang terbatas ini. Namun petua terpenting bagi memperoleh hikmah adalah taqwa, sebagaimana kata pujangga, Takutkan Allah adalah pintu kepada al-Hikmah.
TINGGI SENI ITU DALAM ISLAM
Islam memandang tinggi keindahan seni, lebih-lebih lagi seni khat yang berkait rapat dengan Kalamullah dan sabda Rasulullah S.A.W. sehingga Allah S.W.T bersumpah di dalam Al-Quran dengan pena dan tulisan yang bermaksud:
“Nun, demi Qalam dan apa yang mereka tulis”.
(Surah al-Qalam : 1)
(Surah al-Qalam : 1)
Allah S.W.T dengan segala sifat kesempurnaanNya amat menyukai keindahan. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah Maha Indah dan suka kepada keindahan”.
(Riwayat al-Bukhari)
(Riwayat al-Bukhari)
Seni Khat merupakan bidang kesenian Islam yang kudus dan penting dalam perkembangan tamadun Islam. Dengannya, usaha memelihara Al-Quran yang dilakukan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat dapat dilaksanakan.
Peranannya yang begitu penting, telah menjadikan gerakan dakwah Islamiyah dan penyebaran ilmu Islam dapat dilakukan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, yang mengajar dengan pena (dengan perantaraan Qalam). Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Surah al-‘Alaq : 3-5)
Mempelajari tulisan juga penting kerana ia adalah satu cara untuk mencatat Kalamullah dan hadith, bagi memastikan keberkekalan dan penyebarannya. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Catatlah ilmu dengan tulisan”.
Ini memberi suatu gambaran jelas akan peri pentingnya seni khat yang tidak hanya dilihat daripada aspek kesenian dan peranannya sahaja malah juga daripada aspek kerohanian, sebagai suatu uslub (pendekatan) untuk membentuk jiwa ke arah jalan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
Ayat-ayat Al-Quran, doa-doa daripada hadith, kata-kata ulama yang dicerna dan dijelmakan melalui seni khat, menjadi suatu inspirasi dan motivasi bagi kita dalam menegakkan amalan-amalan yang bersumberkan kepada Al-Quran, yang dituntun oleh Rasulullah S.A.W juga para ulama. Tidak hanya dipandang dan menjadi hiasan semata-mata, tetapi juga sebagai tatapan yang bisa menyentuh hati, seterusnya menjadi suatu tazkirah (peringatan) untuk kita yang natijahnya membawa kepada membesarkan Allah S.W.T serta merasa kemanisan beribadah.
Semoga dapat kita sama-sama mengambil menfaat kearah kehidupan yang berseni dengan adanya seni dalam penghidupan.
Saturday, 25 August 2012
Subscribe to:
Posts (Atom)